1. MENGUASAI ILMU DAN HIKMAT.

Dalam surah Luqman ayat 12, Allah menjelaskan bahawa Luqman telah dikurniakan hikmat. Imam Ibn Kathir mentafsirkan hikmat sebagai ‘kefahaman, ilmu dan tadbir (iaitu pengurusan yang baik).’ Justeru ibu bapa perlu menguasai dan memahami ilmu, terutamanya ilmu agama berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah. Penguasaan ini perlu disusuli dengan pengurusan hidup yang baik. Tampa ilmu dan kefahaman ibu bapa menjadi seperti musafir yang berjalan tanpa peta.

2. MEMENTINGKAN IMAN DAN TAQWA.

Berhubung dengan ini, Luqman menjelaskan, jika ada suatu benda yang kecil, seperti biji sawi, disembunyikan di langit, dalam bumi, dalam natu yang besar atau di tempat-tempat lain, Allah tetap mengetahuinya. Hal in disebut dalam surah Luqman ayat 16. Pendidikan Luqman ini bertujuan untuk melahirkan perasaan muraqabah, iaitu merasai bahawa Alah sentiasa melihat gelagat hambanya di mana saja hamba itu berada. Jika perasaan ini menguasai hati seseorang, ia akan menjadi penasihat dan penyelamat bagi seseorang.

3. MEMELIHARA IBADAH.

Antara ibadah yang perlu diutamakan ialah solat. Luqman menyuruh anaknya menegakkan solat. Menegakkan solat bermaksud bersolat secara berterusan dengan memelihara waktu-waktu dan tatacaranya, di samping mementingkan khusyuk ketika bersolat. Solat mempunyai pengaruh yang besar kepada anak-anak.

4. MEMELIHARA AKHLAK.

Antara akhlak yang ditekankan dalam surah Luqman ialah bersikap tawaduk dan tidak sombong ketika bergaul dengan manusia. Beliau juga mengingatkan anaknya agar bersederhana dalam hidup dan tidak meninggikan suara ketika bercakap. Akhlak yang mulia berkait rapat dengan iman seseorang.

5. BERSIKAP POSITIF DALAM UJIAN.

Dalam konteks ini, surah Luqman ayat 17 mengingatkan anaknya kepentingan sabar dalam hidup. Sabar berkait rapat dengan sikap positif. Dengan penekanan ini anak-anak akan cekal mengharungi pancaroba dan liku-liku kehidupan. Anak-anak juga perlu diingatkan bahawa sabar adalah proses ke arah kejayaan.

6. MEMBINA KEMAHIRAN.

Antara kemahiran yang dinyatakan dalam surah Luqman ialah komunikasi berkesan. Luqman menasihati anaknya secara terus tanpa rasa kekok. Ini menunjukkan bapa memainkan peranan yang amat penting dalam pendidikan anak-anak. Ketika memberi nasihat, Luqman menggunakan perumpamaan untuk memudahkan kefahaman. Ini menunjukkan Luqman mempunyai kemahiran berkomunikasi. Antara aspek penting yang perlu ada ketika berkomunikasi ialah kelembutan. Mengiku imam Ahmad dan Baihaqi, nabi bersabda “Jika Allah menghendaki kebaikan bagi sesebuah keluarga diberikan sifat lemah lembut dalam keluarga itu”.

7. PEKA DAN BERPERANAN.

Anak-anak perlu dididik agar berperanan dengan mengajak rakan-rakan mereka kepada makruf dan mencegah dari kemungkaran (ayat 17). Dengan nilai dan sikap ini, anak-anak tidak akan menjadi golongan yang terpengaruh sebaliknya menjadi golongan yang mempengaruhi.