Doa Penerang Hati dan Memulakan Bacaan







Ya Allah, bukakanlah ke atas kami hikmatMu
dan limpahilah ke atas kami khazanah rahmatMu,
wahai Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Wahai Tuhanku, tambahkanlah ilmuku dan luaskanlah kefahamanku.
Wahai Tuhanku, lapangkanlah dadaku dan mudahkanlah urusanku


Thursday, December 9, 2010

Orang BERILMU tidak akan meraba dalam kesesatan selama-lamanya!



Umat Islam hendaklah menjadi insan berilmu dan berperangai baik. Perkara ini kerana sikap itu mulia di sisi Allah.

Ilmu yang dipelajari hendaklah mengikut kehendak Allah seperti yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad saw. 

Ilmu itu anugerah Allah untuk memberi nur (petunjuk) kepada umat manusia. Apabila menuntut ilmu Allah, berilah tumpuan tanpa ragu-ragu.

Tiada guna banyak belajar, tetapi tidak diamalkan. Kesudahannya, ilmu yang dipelajari akan menjadi sebagai ilmu pengetahuan biasa saja, tanpa mendapat faedah daripada padanya.

Amalan akan menjadi baik jika seseorang itu berilmu. Oleh itu, umat Islam hendaklah belajar dan mengamalkannya kerana tanpa amalan, ilmu itu tidak menjadi nur kepada kita. 

Rasulullah bersabda bermaksud:
 "Orang alim itu ialah orang yang beramal dengan apa yang dia tahu".

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik, katanya, Rasulullah bersabda bermaksud: 
"Antara tanda hampir kiamat adalah terhapusnya ilmu Islam, munculnya kejahilan, ramainya peminum arak dan perzinaan dilakukan secara terang-terangan".


Pada hari akhirat nanti, semua pekerjaan kita di dunia akan dibentangkan satu persatu dengan begitu terang. Adakah kita berhak mendapat syurga Allah atau sebaliknya?

Allah berfirman bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menganiaya (seseorang) sekalipun seberat zarah (debu). Dan kalaulah (amal yang seberat zarah) itu amal kebajikan, nescaya akan menggandakannya dan akan memberi daripada sisi-Nya, pahala yang amat besar". (Surah an-Nisa, ayat 40)

Firman-Nya lagi bermaksud: "Pada hari itu manusia akan keluar berselerak (dari kubur masing-masing) untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) amal mereka. Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya). Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)". (Surah az-Zalzalah, ayat 6 hingga 8.)

Kepentingan ilmu, ditegaskan lagi oleh Nabi Muhammad yang bersabda bermaksud: "Siapa yang melalui suatu jalan kerana mencari ilmu pengetahuan, Allah akan memudahkan kepadanya jalan ke syurga." (Hadis riwayat at-Tirmizi) 

Orang yang mengikuti cahaya ilmu pengetahuan tidak akan meraba dalam kesesatan selama-lamanya.

Dengan ilmu pengetahuan seseorang itu akan memperoleh segala kebaikan di dunia dan akhirat.

Oleh itu, tuntutlah ilmu pengetahuan yang berguna dan berfaedah demi agama, bangsa dan negara.

Umat Islam sangat digalakkan supaya menuntut ilmu berfaedah yang dapat diguna dan disebarkan kepada ramai orang. 

Dengan ilmu itu juga dapat membangunkan umat Islam daripada ketinggalan dan terus ditindas oleh orang lain.

Hapuskanlah penyakit buta huruf agama yang sedang bermaharajalela di kalangan umat Islam kini.

Dalam hadis lain, Rasulullah bersabda bermaksud: "Sesiapa yang mempelajari ilmu yang boleh mendapatkan keredaan Allah, sedangkan dia mempelajarinya kerana ingin mendapatkan habuan dunia, dia tidak akan dapat mencium bau syurga pada hari akhirat kelak." (Hadis riwayat Abu Daud)

Menuntut ilmu adalah antara amalan terpuji yang amat digalakkan Islam disebabkan kedudukan ilmu itu yang cukup mustahak dalam kehidupan insan.

Dengan ilmu, seseorang akan memperoleh petunjuk, terhindar daripada kejahilan dan boleh membina hidup berdasarkan panduan Islam.

Berkenaan dengan martabat orang berilmu, Allah berfirman yang bermaksud: "Allah mengangkat orang beriman antara kamu dan orang yang diberikan ilmu satu darjat."

Orang yang berilmu dijanjikan Allah kedudukan yang tinggi di dunia mahupun akhirat.

Islam menuntut keikhlasan niat dalam segala perkara, termasuk dalam menuntut ilmu sama ada yang berbentuk keduniaan atau ilmu agama.

Dengan perkataan lain, setiap ilmu yang dituntut janganlah terkeluar daripada landasan syariat. Ilmu mestilah dimanfaatkan untuk kebaikan di dunia dan di akhirat serta mengutamakan kebajikan manusia sejagat.

Mereka mengejar atau mendalami ilmu bukannya untuk kepentingan dunia semata-mata seperti mengumpul harta, merebut kenaikan pangkat atau mengejar glamor.

Golongan seumpama ini, mendapatkan ilmu bagi tujuan tidak murni. Jika begini kelakuan mereka, pastinya mereka tidak akan dapat mencium bau syurga pada akhirat nanti.

Ilmu yang berkat adalah yang membuatkan seseorang itu semakin dekat dengan Allah. Bukan menjadikan dia semakin jauh dan lalai hingga melanggar hukum Allah atau sanggup melakukan kemungkaran seperti keganasan, menipu, mencuri dan merampas hak orang.


Apabila seseorang itu bertambah ilmunya, semakin mulia akhlaknya dan semakin bertakwa kepada Allah.

Selain itu, kita diingatkan tidak kedekut bagi menyampaikan ilmu berguna kepada orang lain.

Hal ini seperti sabda Rasulullah bermaksud: "Sesiapa yang ditanya mengenai ilmu lalu dia menyembunyikannya akan diikat mulutnya (meletakkan kekang di mulutnya seperti kuda) dengan kekang daripada api neraka pada hari kiamat."




No comments: