Rumahtangga merupakan alam baru yang perlu ditempuh tanpa ada tempoh percubaan (kecuali bagi mereka yang sudah berumahtangga, kemudian pasangan meninggal atau bercerai atau seumpamanya, dan kemudian berkahwin lagi). Kebahagiaan atau sebaliknya amat bergantung sejauh mana persediaan pasangan itu dalam bekerjasama mewujudkan keharmonian dan persefahaman sesama mereka. Firman Allah dalam surah An-Nahl ayat 80 yang bermaksud, 'Dan Allah menjadikan bagimu rumah-rumahmu sebagai tempat tinggal (mendapat ketenangan di dalamnya)' Islam telah menggariskan satu panduan hidup yang lengkap dan rapi pada segala perkara yang berkaitan dengan kehidupan manusia. Tugas setiap ahli keluarga hendaklah dilaksanakan dengan sempurna mengikut hak masing-masing. Jika setiap anggota keluarga tahu melaksanakan hak mereka maka akan wujud keharmonian dan kecemerlangan di dalam keluarga mereka. Keluarga Islam wajib menjadikan Islam sebagai panduan dan cara hidup. Syariah, akidah dan akhlak Islam perlu menjadi dasar hubungan kekeluargaan ini. Menjadi tugas dan tanggungjawab suami isteri untuk membentuk sebuah keluarga cemerlang antaranya bertakwa, bekerjasama, saling memahami, sayang menyayangi dan bertanggungjawab. Konsep ketakwaan kepada Allah s.w.t harus dititikberatkan dalam setiap ahli keluarga iaitu taat segala perintah dan menjauhi segala larangan Allah s.w.t. Sembahyang lima waktu contohnya, tidak seharusnya diabaikan oleh setiap ahli keluarga. Anak-anak yang masih kecil seharusnya dididik mengerjakan sembahyang supaya apabila dewasa nanti mereka memahami bahawa sembahyang itu adalah wajib bagi setiap umat Islam. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, 'Suruhlah anak-anak kamu mendirikan solat ketika umur mereka 7 tahun dan pukullah mereka ketika berumur 10 tahun sekiranya mereka enggan; dan pisahkan tempat tidur mereka.' (Riwayat Al-Hakim dan Abu Daud) Bagi membentuk keluarga cemerlang juga, kita perlu berhijrah dengan menjadikan rumah sebagai ‘syurga’ iaitu tempat yang penuh dengan ketenangan, kenikmatan dan kebahagiaan. Ini dapat dicapai dengan mengerjakan sembahyang berjemaah sekeluarga dan menerapkan amalan membaca al-Quran atau bertadarus bersama-sama. Pembacaan buku agama di rumah beramai-ramai juga merupakan amalan yang sihat bagi rumahtangga cemerlang kerana secara tidak langsung dapat menambah dan meluaskan ilmu pengetahuan ahli keluarga. Amalan-amalan tersebut selain mempunyai faedah yang besar, ia dapat mendidik anak-anak menghayati budaya keluarga Islam yang cemerlang. Ia juga dapat menghindari ahli-ahli keluarga terjerumus ke dalam maksiat dan kemungkaran seperti keruntuhan akhlak atau haruan makan anak. Oleh itu, setiap lelaki muslim sebelum melangkahkan kaki ke alam perkahwinan dan menjadi ketua keluarga, adalah menjadi satu kewajipan melengkapkan dirinya dengan pelbagai ilmu terutamanya ilmu-ilmu agama sebagai persiapan membina keluarga cemerlang. Firman Allah dalam surah An-Nisa’ ayat 34 yang bermaksud; 'Kaum lelaki adalah pemimpin bagi kaum wanita oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita) dan kerana mereka (lelaki) telah belanjakan sebahagian dari harta benda mereka.' Sebagai ketua keluarga, suamilah yang mencorakkan kehidupan sesebuah keluarga. Jika keluarga dicorakkan dengan acuan kehidupan ala barat, maka begitulah jadinya. Tetapi jika suami mempunyai kesedaran roh Islam, sudah pasti akan terdidiklah ahli keluarga mereka dengan syariat Islam yang sebenar. Anak-anak yang tabiinya berkeadaan suci bersih maka ditangan ibu bapalah yang mencorakkan kehidupan anak mereka. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud, 'Tiap-tiap anak dilahirkan berkeadaan fitrah (suci bersih), maka kedua-dua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi' Ketenangan dalam rumahtangga tidak akan wujud tanpa berusaha ke arahnya. Seorang suami yang mempunyai kuasa mutlak dalam keluarga seharusnya lebih bertolak ansur dan memahami keadaan isterinya dalam menempuh arus kehidupan dalam zaman yang serba moden ini. Tekanan kerja dan kos kehidupan yang semakin mencabar bukanlah alasan untuk mengabaikan tanggungjawab dan layanan kepada pasangan. Perubahan seperti inilah yang memenuhi maksud hijrah dalam konteks suami masa kini. Oleh itu, si suami harus lebih memahami isterinya, bertolak ansur, sentiasa kasih mengasihi, memperbanyakkan sabar, tabah di dalam menghadapi gelora rumahtangga dan menjadikan sikap suka bermaaf-maafan sebagai satu amalan. Dengan itu, segala masalah yang timbul dapat diatasi dengan aman dan keharmonian rumahtangga terus terpelihara. Isteri adalah berkongsi peranan dalam membantu suami mencapai matlamat rumahtangga yang dibina. Sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Nasai bermaksud, 'Sebaik-baik isteri ialah menggembirakan suami apabila dilihat, apabila suami memerintah dia patuh dan apabila suami tidak ada di sisinya dia menjaga kehormatan dirinya dan harta kepunyaan suaminya'. Islam telah memberi garis panduan yang jelas berkenaan ketaatan seorang isteri kepada suaminya iaitu bukan pada perkara-perkara yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam iaitu al-Quran dan Sunnah. Isteri sememangnya memiliki kelebihan dan potensi yang tiada pada suami. Kelembutan, penyayang dan penyabar merupakan ciri terpenting dalam mendidik anak-anak dan pasangan hidup yang sempurna. Oleh itu, isteri mesti memainkan peranan membina keluarga cemerlang dengan tidak meletakkan tanggungjawab sepenuhnya kepada suami. Maka sewajarnyalah si isteri berubah dan berhijrah menjadi isteri yang solehah, berperanan secara aktif dan optimis serta bersama-sama berganding bahu membina keluarga Islam yang sebenarnya. Jika suasana rumahtangga mulai hambar, suami isteri perlu mengimbas kembali keindahan rumahtangga yang pernah mereka kecapi di awal-awal perkahwinan. Jika suami isteri mula merasai ada unsur-unsur kebosanan dalam keluarga, masing-masing perlu segera memainkan peranan untuk membaikinya. Ini kerana keluarga cemerlang adalah berasaskan kebahagiaan hubungan suami isteri itu sendiri. Bagi mengelakkan sebarang masalah atau perselisihan, suami isteri perlu bekerjasama dan saling berbincang tentang hal-hal yang berkaitan dengan urusan rumahtangga, pendidikan anak-anak mahupun kewangan. Suami seharusnya menyedari tentang beban pasangannya. Dia seelok-eloknya bersikap berkasihan belas kerana banyak perkara yang perlu si isteri lakukan dalam masa yang singkat seperti menjaga kebajikan suami dan anak-anak, pendidikan anak-anak, urusan rumahtangga dan keperluan dirinya sendiri. Dalam masa yang sama si isteri tidak seharusnya mementingkan diri sendiri tetapi turut menghalusi beban yang ditanggung oleh suami dalam meningkatkan ekonomi keluarga. Jelas di sini bahawa seisi keluarga harus saling memahami masalah dan beban tugas masing-masing dalam pekerjaan, rumahtangga dan pendidikan anak-anak. Di samping itu, bebanan yang wujud ini menimbulkan pelbagai emosi yang positif dan negatif. Bagi mengekalkan keharmonian dalam keluarga, masing-masing perlu berperanan menjaga emosi pasangannya. Firman Allah dalam surah At-Tahrim ayat 6 yang bermaksud; 'Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari seksaan api neraka' Berdasarkan ayat ini, ternyatalah suami isteri bertanggungjawab untuk berusaha mendidik anak-anak sejak dari kecil dengan asas keimanan iaitu rukun-rukun dan prinsip-prinsip agama yang luhur. Bagi mengimbangi didikan yang diterima oleh anak-anak, ibu bapa juga perlu meluaskan dalam memberi pendidikan seperti pendidikan akademik, jasmani, akal, kejiwaan dan kemasyarakatan. Ini supaya anak-anak dapat membesar dalam keadaan seimbang sebagai seorang anak yang soleh. Ibu bapa perlu bersama-sama melibatkan diri dalam pendidikan anak-anak. Sikap meletakkan tanggungjawab sepenuhnya kepada guru dan para pendidik dalam urusan pembelajaran anak-anak perlulah diubah. Hijrah sikap yang sebegini amat penting kerana anak-anak juga terbentuk dan terdidik oleh pengaruh persekitaran. Oleh itu, mentaliti ibu bapa perlu diubah atau di’hijrah’kan dengan mewujudkan persekitaran yang baik yang terdiri daripada ibu bapa sendiri, guru, sekolah, masyarakat dan media yang menjurus ke arah pembentukan insan yang soleh, berguna dan cemerlang. Anak-anak yang soleh pastinya anak yang sentiasa mendoakan kebaikan kepada ibu bapa sama ada yang masih hidup atau sudah mati. Rasulullah s.a.w pernah bersabda bahawa apabila matinya anak Adam maka terputus amal ibadatnya kecuali tiga perkara, pertama : ilmu yang bermanfaat, kedua : sedekah jariah dan ketiga : doa anak-anak yang soleh. Jelaslah bahawa peranan anak-anak yang soleh yang mendoakan kesejahteraan kepada ibu bapanya amat penting bagi menjamin ibu bapanya sentiasa hidup bahagia, sejahtera dan diredhai Allah s.w.t di dunia dan akhirat. Satu lagi peranan bagi seorang anak untuk mewujudkan keluarga cemerlang ialah menjaga nama baik keluarga. Anak yang soleh pastinya anak yang sentiasa berkelakuan baik walau di mana sahaja dia berada. Apa yang dilakukan adalah berlandaskan ajaran Islam yang suci walau dalam apa bidang yang diceburi. Anak-anak yang soleh tidak mudah terjebak ke lembah kehinaan seperti penyalahgunaan dadah, seks bebas dan sebagainya yang boleh memberi aib kepada ibu bapa dan keluarganya apatah lagi mengganggu gugat keharmonian negara. Keluarga yang cemerlang bukan hanya diperolehi hasil dari hubungan antara anggota keluarga sahaja malahan hubungan dengan jiran sekeliling. Perhubungan kejiranan yang intim dapat diwujudkan bermula dengan berbual-bual mesra antara satu sama lain. Keluarga yang cemerlang bukan sahaja mewujudkan suasana yang harmoni di dalam keluarga bahkan keharmonian tersebut dapat dikongsi bersama sesama jiran. Sikap dan amalan yang negatif seperti mengumpat, hasad dengki, menyakiti jiran, menabur fitnah, mementingkan diri sendiri, anti sosial dan sebagainya, tidak ada dalam kamus keluarga cemerlang. Setiap anggota keluarga bermula dari ibu bapa sehingga anak-anak adalah sama-sama bertanggungjawab mewujudkan suasana harmoni sesama jiran. Oleh itu, keluarga yang cemerlang ialah anggota keluarga yang berhijrah meninggalkan elemen-elemen yang merosakkan hubungan dan semangat kejiranan. Secara umumnya dapatlah ditegaskan di sini bahawa institusi keluarga merupakan unit masyarakat yang paling kecil yang menjadi titik tolak ke arah pembentukan sebuah masyarakat yang lebih besar dan seterusnya membentuk sebuah negara. Mendirikan rumahtangga atau membentuk sebuah keluarga cemerlang merupakan satu tuntutan Islam dan sempurnanya separuh agama. Program Rumahku Syurgaku diadakan untuk mengajak dan memandu masyarakat bagaimana untuk mewujudkan sebuah keluarga yang harmoni, aman damai dan cemerlang. Tidak dapat dinafikan wujudnya percanggahan pendapat dan perselisihan kecil. Namun, berbekalkan iman dan takwa yang mantap, pasti fenomena berkeluarga sedemikian dapat diatasi dan dikawal dengan baik. Perselisihan pendapat adalah fasa penyesuaian satu-satu pasangan dan ia adalah proses kematangan mencapai kecemerlangan hidup berumahtangga. Oleh itu, berhijrahlah diri dari sikap yang buruk dan pengaruh jahiliyah kepada acuan Islam yang pastinya memandu kita mewujudkan keluarga Islam yang harmoni lagi cemerlang dan berpeganglah kepada al-Quran dan Sunnah sebagai petunjuk hidup kita. Kikislah minda yang tidak bersesuaian dengan agama agar hidup kita akan diredhai oleh Allah dan mendapat keampunan-Nya.
|
Doa Penerang Hati dan Memulakan Bacaan
Ya Allah, bukakanlah ke atas kami hikmatMu
dan limpahilah ke atas kami khazanah rahmatMu,
wahai Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Wahai Tuhanku, tambahkanlah ilmuku dan luaskanlah kefahamanku.
Wahai Tuhanku, lapangkanlah dadaku dan mudahkanlah urusanku
Ya Allah, bukakanlah ke atas kami hikmatMu
dan limpahilah ke atas kami khazanah rahmatMu,
wahai Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Wahai Tuhanku, tambahkanlah ilmuku dan luaskanlah kefahamanku.
Wahai Tuhanku, lapangkanlah dadaku dan mudahkanlah urusanku
Monday, December 6, 2010
Keluarga Cemerlang, keluarga harapan...amin.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment