Doa Penerang Hati dan Memulakan Bacaan







Ya Allah, bukakanlah ke atas kami hikmatMu
dan limpahilah ke atas kami khazanah rahmatMu,
wahai Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Wahai Tuhanku, tambahkanlah ilmuku dan luaskanlah kefahamanku.
Wahai Tuhanku, lapangkanlah dadaku dan mudahkanlah urusanku


Friday, December 31, 2010

Ganjaran rezeki untuk mereka yang sentiasa bersyukur

SESIAPA yang sentiasa bersyukur bermakna dirinya mengingati Allah. Rasa bersyukur terhadap Maha Pencipta yang memberikan segala kehidupan ini dan rasakan diri sentiasa hampir kepada Allah. Justeru, Allah membalasnya dengan Dia mengingati dan melimpahkan nikmat yang lebih baik. 


Allah berfirman bermaksud: “Maka ingatlah Aku nescaya Aku akan mengingatimu dan syukurilah atas nikmat-Ku dan janganlah sekali-kali kamu kufuri nikmat-Ku.” (Surah al-Baqarah, ayat 152).

Sesungguhnya Allah memberi rezeki kepada seluruh manusia, tanpa mengira orang beriman atau tidak beriman.
Orang yang ingkar akan menanggung kerugian di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat. Kehidupan orang yang tidak bersyukur sentiasa tertekan dan gagal memanfaatkan apa yang dimilikinya.

Walaupun mendapat banyak kemewahan dan kesenangan, jiwa orang tidak bersyukur sentiasa berasa masih tidak mencukupi. Semakin banyak yang dikejar, semakin dirasakan bebanan perasaan dan bertambah kekufurannya.

Allah berjanji menambah nikmatnya kepada sesiapa yang sentiasa bersyukur. Betapa beruntungnya orang yang bersyukur, mendapat nikmat di dunia dan pembalasan syurga di akhirat.
Firman-Nya bermaksud: “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” (Surah Ibrahim, ayat 7).

Kita disuruh bersyukur bukan saja apabila mendapat kemewahan atau apa yang dihajati tercapai. Sebaliknya, rasa bersyukur juga di atas ciptaan Allah yang menjadikan dunia ini untuk kemudahan manusia serta seluruh kehidupan lain di dunia ini.

Diriwayatkan oleh Muslim bahawa Rasulullah SAW pernah mengerjakan sembahyang yang sepanjangnya Baginda menangis sehingga bercucuran air mata. Hal itu berlaku apabila Baginda menerima wahyu yang menjelaskan mengenai kejadian alam ini yang dibentang luas untuk kemudahan dan kenikmatan hidup manusia.

Melihat keadaan Rasulullah SAW menangis itu, Aisyah bertanya: “Wahai Rasulullah! Apakah yang menyebabkan engkau menangis? Padahal Allah telah mengampunkan apa-apa yang terdahulu daripada dosa engkau dan juga yang terkemudian.”
Lalu Rasulullah SAW menjawab: “Adakah aku ini bukan seorang hamba yang bersyukur? Mengapakah aku tidak berbuat demikian, sedangkan Allah telah menurunkan (ayat) kepadaku.”

Ayat yang dimaksudkan Rasulullah SAW itu ialah ayat 164, surah al-Baqarah bermaksud: “Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang dan (pada) kapal-kapal berlayar di lautan dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia.”

Bahawasanya Rasulullah SAW merasakan betapa besarnya anugerah Allah kepada seluruh makhluk di muka bumi ini. Orang beriman melihat seluruh kejadian alam dari kaca mata keimanan dan ketakwaan, yang diiringi dengan rasa kesyukuran, keinsafan dan keteguhan iman.

source: http://klikkhas.bharian.com.my/klikkhas/salamaidilfitri/Artikel/SinarRamadan/20090820194013/Article/index_html

No comments: