Doa Penerang Hati dan Memulakan Bacaan







Ya Allah, bukakanlah ke atas kami hikmatMu
dan limpahilah ke atas kami khazanah rahmatMu,
wahai Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Wahai Tuhanku, tambahkanlah ilmuku dan luaskanlah kefahamanku.
Wahai Tuhanku, lapangkanlah dadaku dan mudahkanlah urusanku


Saturday, January 14, 2012

Berhemah didik anak degil

***Disiarkan melalui Cermin Diri, Kosmo! Mei 2011.

Dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah r.a, diriwayatkan Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Setiap anak lahir dalam keadaan fitrah iaitu suci dan bersih, maka kedua ibu bapanyalah yang menjadikannya bersikap seperti perangai Yahudi, Nasrani atau Majusi”. Hadis ini jelas membuktikan ibu dan bapa mempunyai tanggungjawab besar untuk membentuk keperibadian dan sikap anak-anak. Terdapat tiga perkara utama yang perlu diusahakan dalam membentuk keperibadian anak-anak iaitu laksanakan komunikasi unggul, tunjukkan teladan yang baik dan paling penting; utamakan solat dan berdoa.

Komunikasi Unggul
Ramai ibu bapa yang menganggap disiplin anak-anak akan dibentuk melalui kekerasan. Hakikat sebenarnya; peribadi mulia anak-anak akan wujud hasil daripada komunikasi unggul antara ibu bapa dan anak. Ibu bapa perlu sentiasa berdampingan dengan anak-anak, bercakap dengan mereka, mengambil berat mengenai setiap kehendak mereka dan jangan sampai anak-anak merasakan mereka tersisih. Sikap degil dan keras kepala si anak boleh wujud hasil daripada rasa tidak puas hati yang wujud dalam diri anak tersebut. Mereka bersikap degil sebagai tanda protes dan memberontak agar mereka diberi perhatian.

Anak perlukan kasih sayang dan belaian. Manjakan anak-anak tetapi jangan berlebihan. Belajar untuk katakan tidak bila perlu dan tepat pada masa dan keadaannya. Jika anak bersalah, jangan terus menengking marah. Praktikkan untuk menegur terlebih dahulu, jelaskan kesilapannya dan pesankan; jangan ulangi kesilapan tersebut. Pakar psikologi menjelaskan; seorang anak kecil perlu ditegur dan diperingatkan mengenai sesuatu perkara sekurang-kurangnya 200 kali. Selepas 200 kali teguran diberi, barulah anak tersebut boleh dimarahi.

Marah yang berpada-pada; jangan gunakan kata-kata kesat dan keras. Jiwa anak-anak terlalu lembut, mudah untuk mengingati sesuatu yang melukakan hati dan terlalu payah untuk melupakannya malah banyak kes; segala keperitan dan kepedihan yang dialami tika kecil akan diingati hingga dewasa malah paling membimbangkan; sikap tersebut diwarisi kepada anak-anaknya pula.
Jangan biasakan memukul anak hanya kerana perkara kecil. Pukulan hanya langkah terakhir apabila teguran berulang kali diberikan dan pemulauan anak-anak dilaksanakan. Pemulauan bermaksud; pinggirkan anak tersebut seketika; tak dilayan kehendaknya, tak dibawa bersembang sama; sebagai menjelaskan anda merajuk hati dengan sikap tidak pedulinya dengan teguran anda.
Setelah teguran diberi, pemulauan dilakukan barulah pukulan boleh dilaksanakan. Itupun hanya dengan tujuan mengajar; gunakan rotan yang sederhana, tidak terlalu besar dan tidak pula terlalu kecil. Pukulan diberikan dengan keadaan lengan rapat ke tubuh dan dihayun rotan tersebut ke bahagian tubuh yang terlindung. Tempat terbaik ialah di tapak kaki. Untuk makluman; pakar kesihatan mengakui, pukulan di tapak kaki membantu pengaliran darah yang sudah semestinya baik untuk kesihatan.
Teladan yang baik
Ramai ibu bapa yang bersikap seperti ketam; menyuruh si anak berjalan betul tetapi diri sendiri gagal berjalan betul. Ibu bapa sepatutnya bersikap “Walk your talk!”- tunjukkan sikap yang baik untuk anak-anak agar anak-anak boleh teladani sikap tersebut. Jika tak suka anak-anak lewat mandi, ibu bapa seharusnya mandi awal pagi. Jika tak suka anak-anak bercakap keras dan kasar, ibu bapa perlu bercakap baik dan berhikmah.

Jangan sesekali kelirukan anak-anak dengan arahan. Sebagai contoh; si ibu menegur kesilapan si anak tetapi si bapa pula memarahi si ibu. Anak akan keliru, mana satu yang betul sebenarnya? Sama juga; jangan tonjolkan sikap buruk yang telah menjadi tabiat anda kepada anak-anak. Anda tentu tahu, anak anda diajar di sekolah merokok itu tidak elok untuk kesihatan. Jika anda merokok di depan anak, mereka akan keliru dengan ajaran guru, sekaligus tidak hormatkan guru dan lebih sadis apabila mereka gagal untuk hormati anda sebagai ibu atau bapa. Penting; jika ada perselisihan faham antara anda dan pasangan anda, elakkan bermasam muka atau bertengkar di hadapan anak. Sikap keras anda akan mudah diteladani oleh mereka.

Utamakan solat dan berdoa
Sebagai individu Muslim, anda perlu mendidik agar anak anda mengutamakan solat lima waktu. Solat bukan semata-mata tanda syukur kepada Allah atau ibadat kepada-Nya sebaliknya solat adalah sebagai satu pembentukan akhlak dan disiplin yang baik. Ajar anak-anak mengaji Muqaddam atau al-Quran sejak mula, boleh diajar tika anak sudah mula berkata-kata. Ajarkan anak solat, biar tidak betul pergerakannya, pembentukan sejak usia muda akan membentuk kebiasaan agar solat bukan lagi menjadi satu bebanan. Jiwa yang menghayati solat akan terhindar daripada perkara tidak baik seterusnya melahirkan akhlak yang terpuji, insyaAllah!
Sebagai ibu bapa; sentiasa praktikkan untuk mendoakan yang terbaik untuk anak-anak. Jangan 
biasakan kata-kata kesat dan negatif kerana ia mudah menjadi doa untuk anak anda....

No comments: