“Hadiah Cinta” – Sebuah Anugerah Terbaik
Cinta dan kasih sayang boleh diibaratkan sebagai tunjang sebuah rumah. Tanpanya, rumah tidak akan mampu berdiri teguh, apatah lagi untuk menghadapi bencana yang senantiasa mendatang. Jika diperhatikan dengan mendalam, sebuah keluarga yang bahagia yang dipimpin oleh para ibu bapa bijak akan menanam sifat kasih-sayang ini seawal mungkin. In bersesuaiain dengan kehendak Rasululullah melalui hadithnya yang bermaksud, “Cintailah anak-anak dan kasih sayangi lah mereka. Bila menjanjikan sesuatu kepada mereka tepatilah. Sesungguhnya yang mereka ketahui hanya kamulah yang memberi mereka rezeki.” (Hadith Riwayat Ath-Thahawi).
Hadiah terbaik yang ibu bapa boleh berikan kepada anak-anak mereka ialah “hadiah cinta.” Bayangkan jika kita hidup mewah dengan perlatan terkini tetapi tiada siapa yang menemani kita. Walau bagaimana canggih sekalipun barangan tersebut, tarikannya akan pudar dalam masa yang singkat sahaja. Tanpa cinta, kasih-sayang dan interaksi sesama manusia, hidup tidak mungkin akan bahagia. Perkara yang sama juga boleh berlaku untuk kanak-kanak. Kasih-sayang dan perhatian dari ibu bapa tiada gantinya.
Apakah bentuk hadiah-hadiah cinta yang boleh kita berikan? Pertama sekali, jika kita sayang akan seseorang, kita perlu pastikan yang dia tahu. Jika tidak, si dia mungkin akan mencari cinta di tempat lain. Bolehkah anda hitung berapa kalikah karakter-karakter di dalam cerita di televisyen yang kehilangan orang tersayang semata-mata kerana dia takut untuk meluahkan kata-kata cinta?
Di alam realiti, ibu bapa bijak memastikan mereka tidak “kehilangan” anak-anak mereka dengan memastikan ungkapan “Ayah/Ibu sayang kamu” diucapkan beberapa kali sehari. Mereka juga melengkapkan ungkapan tersebut dengan pebuatan – anak-anak dipeluk dan dicium di setiap ketika yang sesuai. Anak-anak mereka akan mendapati hari-hari mereka terus menjadi satu hari yang ceria dan bahagia.
Mereka juga menjaga tuturkata mereka. Ibu bapa bijak menggunakan perkataan-perkataan positif yang memberi galakan, bukannya yang negatif melalui kritikan. Mereka bercakap dengan anak-anak secara yang terbaik, lebih baik daripada cara mereka bercakap dengan rakan-rakan ataupun orang lain. Mereka masih mampu menjaga tuturkata tersebut walaupun di dalam keadaan marah dan tertekan.
Di dalam setiap situasi, kita mempunyai pilihan untuk melhatnya secara positif atau negatif. Contohnya, apabila anak-anak tidak melakukan kerja sekolah, ibu bapa mungkin memarahi anak mereka sambil berkata “Kenapalah awak ni? Selalu berat nak buat kerja. Selalu lupa!” Itu adalah perkataan negatif yang menyerang peripadi anak secara terus. Kata-kata ibu bapa adalah doa. Lama kelamaan, ianya akan dimakbulkan Tuhan dan anak tersebut akan menjadi lebih malas dan pelupa.
Sebaliknya, ibu bapa bijak akan memilih untuk menggunakan perkataan yang positif. Mereka akan berkata “Ada apa-apa yang kamu belum siapkan lagi? Kalau tak faham, mari ibu/ayah tolong.” Anak-anak akan berasa lebih teruja untuk menyiapkan kerja mereka kerana mereka mendapat galakan positif. Jiwa mereka juga lebih tenteram kerana peribadi mereka tidak diserang dan dilabel sebagai seorang yang tidak baik.
Hadiah cinta juga boleh diberikan melalui perbuatan. Umpamanya, apabila ibu memasak di dapur, dia akan memasukkan “sepenuh kasih-sayang” sebagai resepi terakhir. Sebab itulah masakan ibu adalah yang terbaik di dunia. Si ayah pula akan bermain-main dengan anak kecil dengan sepenuh perhatian. Malah, setiap aspek kehidupan seperti pembelajaran, keagamaan dan perbuatan diselitkan dengan perasaan cinta.
Jika ibu bapa gagal memberikannya secara proaktif, anak-anak akan “meminta-minta” perhatian dan kasih-sayang dengan melakukan perkara-perkara yang tidak kita sukai seperti menangis-nangis, tidak bekerjasama, melanggar peraturan ataupun tidak memberi perhatian kepada pelajaran. Semua ini adalah simptom-simptom anak yang tidak mendapat hadiah cinta dari ibu bapa mereka.
Oleh itu, ibu bapa bijak memberikan “hadiah cinta” tersebut sebelum ianya dipinta. Saat-saat indah kehidupan tidak berlaku semasa kita membeli-belah barangan mewah. Sebaliknya, kenangan manis akan terpahat tatkala kita meluangkan masa untuk bergurau-senda, berinteraksi dan memberi sepenuh perhatian dan kasih-sayang kepada keluarga!
No comments:
Post a Comment